Prinsip Mengenai Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Kebebasan_bersuara_di_Malaysia

Dalam kes Muhammad Hilman v Kerajaan Malaysia[24], mahkamah memutuskan bahawa sebarang sekatan yang diwujudkan oleh Parlimen bagi kebebasan bersuara mestilah merupakan sekatan yang munasabah dan mahkamah mempunyai kuasa untuk menyemak sama ada sekatan tersebut sah atau tidak seperti yang dinyatakan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia [25].

Dalam kes tersebut, Gopal Sri Ram FCJ menyatakan cara untuk memastikan sama ada sesuatu sekatan munasabah atau tidak ialah berdasarkan keperluan dan tahap mustahak sekatan tersebut bagi mencapai tujuan sesebuah akta itu dibuat. Selain itu, dalam kes Zi Publications Sdn Bhd & Anor lwn Kerajaan Negeri Selangor; Kerajaan Malaysia & Anor (Intervener)[26], Raus Sharif PMR juga menegaskan pengunaan principle of harmonious construction dalam mengintepretasi peruntukan perlembagaan seperti yang mana telah diputuskan dalam kes tersebut, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan harus dibaca khususnya dengan Perkara 3(1), Perkara 11 dan Perkara 74(2). Prinsip mantap pentafsiran Perlembagaan ini menjelaskan bahawa tiada peruntukan Perlembagaan yang boleh dipertimbangkan secara berasingan.

Peruntukan yang tertentu itu mesti dipertimbangkan bersama-sama semua peruntukan-peruntukan lain berkaitan dengan hal perkara tertentu[27].

Kebebasan bersuara setiap warganegara Malaysia adalah tidak wujud secara mutlak[28]. Masih terdapat lagi kuasa Parlimen untuk menggubal dan mengehadkan hak tersebut. Artikel 10(1)(a) dalam Perlembagaan Persekutuan yang memberi kebebasan bersuara kepada warganegara Malaysia itu adalah tertakhluk kepada 10(2), 10(3) dan 10(4). Sekatan-sekatan ini boleh dikenakan untuk memelihara ketenteraman awam dan hak asasi masyarakat umum untuk hidup dalam aman dan tenteram.